Kak Nor: Pejuang Seni Tenun Sampin Terengganu di Tengah Arus Moden
Kisah Kak Nor: Penenun Sampin Terengganu yang Tetap Bertahan di Tengah Arus Perubahan
Kak Nor, seorang penenun berusia 56 tahun dari Pasir Panjang, Terengganu, telah menceburi bidang seni tenun sampin selama lebih 30 tahun. Beliau merupakan salah satu daripada segelintir penenun sampin Terengganu yang masih aktif, walaupun jumlah penenun tradisional semakin berkurangan.
"Kita nenung sejok dari mok ayoh kita dulu lagi"
Cabaran dan Perubahan dalam Industri Tenun SampinIndustri tenun sampin Terengganu kini menghadapi pelbagai cabaran, antaranya adalah penurunan permintaan terhadap sampin sutera asli. Fenomena ini berlaku disebabkan kemasukan sampin dari India yang lebih murah dan mudah didapati di pasaran. Keadaan ini turut menyumbang kepada pengurangan bilangan penenun tempatan, kerana pendapatan dari hasil tenunan tidak lagi menjanjikan pulangan yang lumayan.
Kak Nor mengambil masa antara satu hingga dua bulan untuk menyiapkan sehelai sampin, bergantung kepada kerumitan corak yang diminta. Proses pembuatan yang teliti ini memerlukan kesabaran dan ketekunan, sesuatu yang semakin jarang dihargai dalam era moden ini. Namun begitu, ketelitian dan kecantikan hasil tenunan tangan Kak Nor tetap tidak dapat ditandingi oleh sampin buatan mesin.
Warisan yang Kian TerpinggirGenerasi muda, termasuk anak-anak Kak Nor yang turut pandai menenun, menunjukkan minat yang semakin pudar terhadap seni ini. Bagi mereka, masa yang panjang untuk menyiapkan sampin serta pendapatan yang tidak seberapa menjadi antara faktor utama. Bukan sahaja mereka perlu bersaing dengan produk sampin yang diimport, tetapi juga perlu menangani persepsi masyarakat yang lebih gemar memilih produk yang lebih cepat dihasilkan.
"Orang takboh nenun doh leni, orang leni dok minat nenung"
Menjaga Kelestarian Seni WarisanWalaupun seni tenun sampin berhadapan cabaran besar, usaha seperti yang dilakukan oleh Kak Nor penting untuk memastikan warisan ini tidak terus hilang ditelan zaman. Setiap helaian sampin yang dihasilkan bukan sahaja melambangkan kecantikan seni tradisional, tetapi juga semangat dan jati diri yang diwariskan turun-temurun. Dengan mengekalkan seni ini, kita bukan sahaja mempertahankan identiti budaya kita, tetapi juga menghargai usaha gigih mereka yang berkorban demi warisan bangsa.
Kak Nor terus berharap agar suatu hari nanti, seni tenun sampin Terengganu akan kembali dihargai, dan lebih ramai generasi muda akan tampil untuk meneruskan legasi seni ini.